Teknologi Tenaga Pintar

KEUNGGULAN serta ketahanan komputer riba daripada Acer sememangnya tidak pernah dinafikan.

Memiliki reka bentuk yang elegan, tampak mewah serta moden menjadikannya pilihan utama peminat komputer riba di negara ini.

Kini, demi memenuhi kehendak peminatnya, Acer sekali lagi melancarkan komputer riba terbarunya yang lebih nipis dan memiliki jangka hayat bateri yang lebih lama.

Aspire TimelineX 4820TG, memiliki kombinasi prestasi, jangka hayat bateri dan reka bentuk nipis yang unggul mampu memenuhi segala keperluan pengguna masa kini.

Jangka hayat bateri

Jangka hayat bateri yang mampu bertahan sehingga 12 jam lamanya memudahkan para penggunanya untuk melakukan sebarang aktiviti tanpa perlu ‘mengheret’ bersama kabel pengecasnya.

Bagi para pengguna juga sentiasa bergerak, TimelineX direka hanya setebal 24 milimeter (mm) dan hanya seberat 2.2 kilogram (kg) pastinya ia merupakan pilihan yang tepat.

Jangka hayat kuasa baterinya direalisasikan melalui teknologi pintar dikenali sebagai Acer PowerSmart.

Hanya dengan mengaktifkan butang PowerSmart, ia mampu memanjangkan jangka hayat bateri secara automatik dengan mengubahsuai tahap warna dan kecerahan untuk prestasi optimum.

Teknologi tersebut hanya menggunakan kurang daripada 66 peratus tenaga berbanding apa yang diperlukan oleh Energy Star.

Apabila bateri tersebut sudah dicaj penuh, bekalan elektrik akan diputuskan secara automatik sekali gus mengurangkan pembaziran elektrik dan mengurangkan tekanan ke atas bateri.

TimelineX turut disokong oleh unit pemproses baru Intel Core i5 bagi memastikan ia dapat diadaptasi terhadap keperluan pengguna.

Teknologi Intel Turbo Boost yang dipadankan dengan TimelineX pula mampu melenyapkan rasa kecewa pengguna terhadap aplikasi laman maya yang perlahan.