Pasaran PC Asia Pasifik meningkat

KAJIAN rambang firma kaji selidik terkemuka, IDC mengenai komputer peribadi (PC) di Asia Pasifik tidak termasuk Jepun, mendapati pasarannya berkembang satu peratus berbanding suku tahun keempat 2009 dan 38 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.

Ia juga didapati melebihi lima peratus berbanding jangkaan awal yang mana PC notebook terus menjadi pemacu yang melonjak hampir di seluruh negara di rantau ini dengan pertumbuhan dua digit dari tahun ke tahun.

Pengarah, Penyelidik Peranti dan Perkakasan, IDC Asia Pasifik, Bryan Ma, dalam kenyataannya memberitahu ekonomi merudum sebelum ini dilihat semakin pulih dan keyakinan serta keupayaan membeli di kalangan penduduk semakin meningkat.

“Tidak mengambil kira kecenderungan pengguna ke arah PC tablet atau sebaliknya, namun keperluan pengguna di Asia hari ini ialah terhubung secara online, dan itu sudah pasti mempercepatkan pertumbuhan pasaran PC,” katanya.

Menurut Ma, walaupun suasana politik kurang stabil di Thailand hingga menyebabkan keadaan pasaran kurang seimbang pada Mac, namun sektor awam di negara itu terus berkembang.

Program ‘PC ke kawasan luar bandar’ dan ‘menggantikan PC lama’ di China terus meningkatkan pasaran PC di rantau ini, sementara pasaran utama seperti Australia mendahului negara lain dari segi jualan PC notebook pengguna.

Walaupun dengan pertumbuhan itu, namun Singapura mencatatkan penurunan satu peratus di bawah jangkaan disebabkan kurang permintaan dalam segmen PC notebook.

Jenama Lenovo terus menduduki tangga teratas dengan penguasaan 19.0 peratus walaupun mencatatkan penurunan 3.4 peratus berbanding suku keempat 2009 disebabkan pengukuhan jenama ASUS di tangga kelima yang meningkat ke 6.3 peratus berbanding hanya 4.8 peratus suku sebelumnya dan peningkatan 117 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.