Jangan Jadi Mangsa Pembuli Siber

Apa yang membimbangkan, era tamadun tinggi dan kemajuan teknologi tidak lagi berupaya menyekat barah gejala pembuli daripada terus mencari ruang dan peluang memuaskan naluri mereka membuli pihak yang lebih lemah. Jika dulu, sering kali kedengaran masalah disiplin di sekolah membabitkan kumpulan pelajar yang membuli pelajar lain, kemudian sekitar 1990-an pembuli jalan raya pula berleluasa.

Bagaikan tiada kesudahan, keadaan makin parah selaras dengan kecanggihan teknologi telekomunikasi apabila aktiviti membuli menyerap masuk ke dunia siber. Alam siber sepatutnya menjadi gelanggang kepada orang ramai memperoleh pelbagai manfaat untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

Dengan menggunakan kelebihan pada ruang maya ini, pembuli bagaikan mempunyai ruang yang tiada sempadan untuk dimanipulasikan bagi memuaskan naluri mereka sehingga kadang-kala tergamak memuat turun gambar atau video yang bertujuan memalukan dan mengganggu ketenteraman hidup pihak lain.

Secara asasnya, pembuli siber boleh diterjemahkan sebagai aktiviti individu yang dilakukan dengan niat mendatangkan kemudaratan kepada individu lain menerusi mana-mana saluran komunikasi termasuk internet dan telefon bimbit.

Ketua Perniagaan Norton Asia Tenggara, Effendy Ibrahim berkata, lazimnya kegiatan membuli dilakukan golongan remaja lelaki atau perempuan dan kumpulan dewasa bermasalah dengan mengganggu, menakut-nakutkan dan memalukan pihak lain menerusi SMS, e-mail, pesanan ringkas ruang chat, ruangan sosial dan laman web termasuk permainan atas talian.

Beliau berkata, walaupun di Malaysia gejala ini tidak serius seperti di luar negara, benih pembuli sosial sudah mula bercambah apabila semakin ramai remaja dan golongan dewasa yang menyalurkan kemarahan mereka dengan menyalah gunakan teknologi komunikasi ini untuk kepuasan sendiri.

Effendy berkata, sebagai contoh, baru-baru ini ada laporan golongan remaja tempatan yang membuli dan menggunakan kekerasan hanya kerana tidak berpuas hati dengan permainan multimedia yang dimain bersama rakan lain secara dalam talian.

“Bahkan kita kemudian dijamu dengan aliran video dalam talian sebuah laman interaktif terkenal yang memaparkan keganasan sekumpulan pelajar perempuan sekolah menengah memukul pelajar lain serta pembabitan dua remaja bertumbuk sehingga berdarah.

“Walaupun tiada bukti kukuh aktiviti ini berpunca daripada ketidakpuasan hati antara kumpulan remaja, ia sedikit sebanyak membuktikan budaya remaja zaman ini semakin cenderung untuk memuat naik kandungan berunsurkan keganasan dan memalukan ke internet atau laman web tanpa menyedari ia sebahagian daripada aktiviti jenayah siber,” katanya kepada XY – Ikon Lelaki.

Umumnya, sejak internet diperkenalkan, pelbagai langkah sudah diambil pihak berkuasa bagi memastikan orang ramai mematuhi adab menggunakan ruang maya tanpa mendatangkan kemudaratan kepada pihak lain.

Antaranya, penguat kuasaan Akta Komunikasi dan Multimedia di bawah Seksyen 223: yang menyatakan, sebarang komen, permintaan, cadangan atau komunikasi yang berbunyi kelucahan, mencabul, salah, ancaman, menyerang atau menyakiti dengan tujuan menjengkelkan, menganiaya, menakutkan atau mengganggu pihak lain. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun.

Bahkan, Effendy berkata, jika dibiarkan gejala pembuli siber ini berleluasa dikhuatiri ia akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk kepada masyarakat termasuk seperti kes di India di mana ia berlarutan di luar ruangan siber menyebabkan pembuli secara berterusan mengejar serta membuli mangsa dengan lebih serius.

Beliau berkata, dalam kes yang lebih berat pula, pembuli siber boleh meleret dan bertukar ke jenayah siber yang lebih berat dan bahaya hingga mengancam keselamatan pihak yang dibuli seperti menyerang atau mengintip mangsa.

“Kesan mendalam dilihat kepada mangsa buli di mana ia boleh mengganggu perasaan, prestasi pelajaran atau pekerjaannya merosot sehingga sekiranya ia bertambah parah, boleh menyebabkan mangsa bertindak di luar kawalan dengan membunuh diri.

“Ini pernah dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS) apabila tiga kanak-kanak berusia 12 hingga 13 tahun membunuh diri akibat tidak tahan dibuli oleh penjenayah siber.

“Justeru, remaja sebagai golongan paling berisiko tinggi perlu sentiasa menjaga tertib ketika menggunakan ruang siber walaupun golongan ini pada zaman sekarang menganggap mereka sudah mengetahui selok belok ruang internet, kita melihat mereka masih mentah dan mudah dipengaruhi dengan emosi sehingga boleh mencetuskan pelbagai masalah besar,” katanya.

Tanggung jawab mendidik dan menjauhkan golongan remaja dan kanak-kanak daripada terjerumus dengan aktiviti pembuli menjadi tanggung jawab sosial semua pihak. Ini termasuk kerajaan melalui kempen dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan, guru yang memahami, mendidik dan menitik beratkan soal tertib dalam internet hingga keluarga dan remaja terbabit.

Pelbagai kempen kesedaran pada tertib menggunakan internet kini dilakukan secara besar-besaran termasuk yang terbaru, kempen menerusi laman web CyberSAFE yang turut menganjurkan pertandingan berasaskan kempen kesedaran ini di laman sosial Facebook bagi menarik perhatian golongan remaja.

Effendy berkata, tanggung jawab mendidik seharusnya terletak sepenuhnya kepada ibu bapa yang perlu memahami dan mengetahui aktiviti anak-anak ketika melayari internet seterusnya peka melihat perubahan kepada sikap anak mereka sekiranya mereka menjadi mangsa buli.

Katanya, langkah awal yang boleh diambil oleh pihak keluarga adalah dengan melengkapkan komputer rumah dengan perisian yang boleh memantau aktiviti kanak-kanak dan menghalang atau memberi amaran kepada mereka daripada memasuki ruangan yang bahaya seperti yang ditawarkan dibawah Symantec iaitu OnlineFamily.Norton dan Norton 360 Cyber Safety Index.

“Melalui langkah ini, ibu bapa dapat mendekatkan diri untuk memantau aktiviti anak-anak dan menasihatkan mereka berdasarkan kecenderungan mereka melayari internet. Ini dapat memastikan proses mendidik dilakukan secara berterusan,” katanya.

Related terms: Faktor Jenayah Siber, Maksud Jenayah Siber, Akta Jenayah Siber, Punca Jenayah Siber, Kesan Jenayah Siber, Karangan Jenayah Siber, Jenayah Siber Di Malaysia, Statistik Jenayah Siber Di Malaysia